Wednesday, May 28, 2008

Lebih Ramai YB Po Kuan Diperlukan



Mungkin ini berita baik bagi pelabur-pelabur yang pernah tersesat arah melabur dalam skim cepat kaya. YB Po Kuan nampak agak updated dengan apa yang terjadi dalam masyarakat hari ini. Betapa orang ramai tertindas dengan kelemahan sistem yang ada pada hari ini.

Terima kasih kepada YB kerana membawa isu pengambilan wang haram ke parlimen. Harapnya YB terus membawakan isu-isu seperti pelaburan haram internet, penipuan siber dan gerakan terancang skim cepat kaya di Malaysia. Kami pasti terdapatnya pihak yang cukup bijak menggunakan kelemahan perundangan dan pelaksanaan oleh agensi kerajaan seperti KPDNHEP dan MECD untuk kepentingan mereka.

Bagaimana satu bentuk ala-pelaburan haram boleh dibenarkan menjalin kerjasama dengan TEKUN dan terus menerus menggunakan nama agensi itu untuk meraih lebih ramai pelabur baru. Apa jadi dengan pemantauan oleh SC ataupun Bank Negara? Tidakkah setiap peluang pelaburan yang hendak diiklankan dimestikan mendapat kelulusan? Bagaimana promosi sebegini boleh berlaku secara berleluasa samada di internet atau di kampung-kampung tanpa sebarang garis panduan khusus?

Pihak yang menjadi mangsa adalah mereka yang daif dan kurang pengetahuan dalam perkara ini. Kami melihat kerajaan gagal membendung aktiviti skim cepat kaya dari berleluasa dan gagal mempertahankan orang ramai dari bahaya yang di bawa oleh aktiviti ini.

Umpama skim gores dan menang, skim cepat kaya tidak lah susah mana untuk dibanteras sekiranya kelemahan undang-undang berkaitan dapat dikenal pasti. Contohnya golongan ini begitu bijak mendaftarkan koperasi untuk menerima deposit bagi mengelak dari dikatakan menerima deposit haram. Setakat mana fungsi badan pengaudit menjalankan tugas mereka bagi mengenalpasti tawaran yang diberikan kepada pelabur mampu dicapai atau hanya strategi pemasaran semata? Ada koperasi menawarkan 120% pulangan dalam masa setahun, adakah wujud badan pemantau yang dapat mengesahkan kelayakan organisasi berkenaan dalam tawaran mereka demi menjaga kepentingan orang ramai?

Tindakan undang-undang selepas runtuhnya sistem primaid dalam organisasi ini tidak banyak membantu. Yang rugi tetap akan rugi. Yang hilang duit tetap tidak berganti. Apa yang kami perlukan adalah sistem perlindungan untuk orang ramai dari terus ditipu dan mengelakkan kerugian kepada mereka ini.

"Belia Benci Scam"

Tuesday, May 6, 2008

Eastana Farm Form Industries Sdn Bhd - Bisnes Lembu atau Bisnes Ponzi?

Image Hosted by ImageShack.us

Setiap kali nak mencari wang pelabur baru, maka istilah "bantulah usahawan bumiputra/Melayu" akan digunakan. Ini adalah teknik biasa dalam marketing berbentuk persuasive iaitu menggunakan simpati orang ramai.

Dengar cerita Eastana Farm Form Industries Sdn Bhd ini membuka peluang kepada pelabur untuk menanam modal dalam industri daging segar ini. Eh? Boleh ke macam tu. Katanya deposit dengan amaun tertentu diperlukan untuk membeli lembu dan menyerahkan lembu itu kepada syarikat sebagai pawah. Kontrak pawah ni selama 3 tahun dan setiap bulan dapat keuntungan antara 10-12% .. cewahhhhh... tak nak fixed kan return kot takut dikatakan riba pula ye? Selepas kontrak lembu tadi boleh ditukar kepada cash pula. Paling best, bisnes lembu ini ada pula MLM nya. Ada sistem komisen berperingkat sejauh 4 tingkat bermula 3%, 2%, 1% dan 1%. Ada lagi elaun kereta dengan syarat-syarat tertentu.

Hebat betul bisnes lembu dari Eastana Farm Form Industries kerana boleh memberikan keuntungan 10% dalam waktu sebulan saja. Letih pakar-pakar ekonomi samada dalam dan luar negeri belajar sampai dapat PHD berkeping-keping dan rambut pun bertukar jadi putih, tapi masih tak dapat cari formula untuk berikan return sebanyak itu. Untung sungguh orang Senawang kerana pakar-pakar hebat dari Eastana Farm Form Industries berkampung di sana.

Dengar cerita dah bertukar jadi koperasi pulak yah? Kenapa tak daftar dari dulu lagi? Takpe, tersilap perahu boleh undur, tersilap ambil deposit tanpa lesen nanti masuk dalam. Dah jadi koperasi boleh lah ambil deposit. Bijak, bijak.

Nak tanya, Eastana Farm Form Industries tak nak arrange loan ke biar senang sikit pelabur nak hentak besar-besar kat situ? TEKUN kan ada. 10% sebulan siapa nak kasi?

"Belia Benci Scam"

Friday, May 2, 2008

BIOL TEAM & TEKUN - Apa Ceritanya Pula?

Image Hosted by ImageShack.us

Sekarang umpama trend pula setiap peluang bisnes akan menawarkan pinjaman, samada pinjaman melalui TEKUN ataupun bank-bank retail. Sekadar menyebut...

WorldWeirdness & TEKUN
BIOL TEAM & TEKUN
HAI-OWH & BANK

Aduh... suka berhutang kah?

Kami tak katakan program BIOL TEAM sebagai scam, tetapi kami berpendapat pelan pemasaran seperti ini sebenarnya begitu RAKUS mengambil kesempatan dari kegilaan orang-orang Melayu dengan sikap suka berhutang mereka, dan keinginan tinggi pihak TEKUN membantu usahawan khusnya dari golongan bumiputra.

Orang Melayu mana yang tak tergoda jika dijanjikan hutang sebanyak RM5K, dan boleh gunakan cash sebanyak RM1K++, PLUS peluang untuk jadi "usahawan" produk kecantikan? Aduh. Ada minimum sales setiap bulan? Aduh lagi. Alamatnya selepas beberapa bulan produk kecantikan entah kemana, maintenance bulan-bulan entah ke mana, hutang masih nak kena bayar, sedangkan syarikat BIOL TEAM dah pun untung BESAR. ADUH!

Mungkin Dato' Noh boleh mula fikir, senang sangat kah loan itu diluluskan, terguna kah loan itu untuk golongan sasar buka bisnes, atau terguna nya loan itu untuk melariskan produk-produk para kapitalis?

"Belia Benci Scam"

Thursday, May 1, 2008

Koperasi Anak Dinamik Malaysia Berhad - Sangat Hebat!

Image Hosted by ImageShack.us

Khabarnya sebuah koperasi dinamakan Koperasi Anak Dinamik Malaysia Berhad telah pun memulakan skim pinjaman untuk orang ramai. Maaf, bukan koperasi yang bagi pinjam yah, tapi koperasi yang mintak pinjam. Paling best, koperasi ini akan membayar balik wang anda antara 10%-12% sebulan selama 3 tahun. WOW! Ini sudah tentu lebih baik dari autosurf atau pun HYIP.

Jika dapat dirumuskan, maka koperasi memberi pulangan kepada anda sebanyak 120% setahun ataupun 360% dalam tempoh 3 tahun. WOW! WOW! WOW! Kami sangat teruja. Apa jenis bisnes yang dijalankan dengan keuntungan sedemikian rupa? Owh... khabarnya koperasi ini menjalankan bisnes pemasangan ATA iaitu sejenis alat telekomunikasi bagi tujuan penjimatan bil. Wah kalau sudah jimat bil, masakan untungnya begitu kencang untuk koperasi nya?

Di sini kami ingin mencadangkan perubahan drastik dilakukan oleh pihak kerajaan. Kemunculan Koperasi Anak Dinamik Malaysia Berhad ini menjadikan institusi lain yang ada di Malaysia begitu bodoh sekali. Masakan tidak, koperasi ini mampu memberi pulangan 120% setahun, sedangkan KWSP hanya memberi 5.8%, BODOH kah KWSP? Purata fixed-deposit yang ditawarkan bank-bank di Malaysia sekitar 3% setahun, BODOH kah bank-bank di Malaysia?

Adapun cadangan kami seperti berikut...

1 - Pecat Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dari jawatan Gabenor Bank Negara Malaysia. Penggantinya perlulah Pengerusi Koperasi Anak Dinamik Malaysia Berhad kerana ternyata beliau lebih bijak dalam menentukan hala tuju operasi.

2 - Satukan semua bank-bank di Malaysia dan operasi pelaburannya harus dikendalikan oleh Koperasi Anak Dinamik Malaysia Berhad. Fund Manager yang ada sekarang mungkin tak berapa pandai cari peluang pelaburan.

3 - Ubah Akta yang melibatkan caruman wang pekerja. Jangan mencarum untuk KWSP lagi, carumkan kepada Koperasi Anak Dinamik Malaysia Berhad. Rupanya selama ini kita menerima dividen yang terlalu sedikit.

Kami percaya, hasrat kerajaan untuk mencapai tahap kemiskinan sifar sangat mudah di realisasikan dengan bantuan kepakaran dari Koperasi Anak Dinamik Malaysia Berhad. Bukan saja kemiskinan sifar, malah jutaan JUTAWAN akan lahir di Malaysia.

Syabas Inspektor Sahab!

"Belia Benci Scam"