Monday, July 26, 2010

HyproBulkSMS: apa pandangan ramai?

Kami memohon agar Datuk Tan Lian Hoe melalui kementeriannya membuat siasatan ke atas syarikat ini. Sekiranya benar perniagaan "bulk sms" seperti yang diwarkan itu benar-benar boleh membawa kekayaan untuk kita semua, maka kita semua mungkin tak perlu kerja selepas ini. Pakat-pakatlah kita kerjakan peluang SMS ini dan jadi jutawan. Tetapi jika peluang ini hanyalah "gimik" skim cepat kaya, maka penganjurannya haruslah dihentikan.

Sebelum ada yang marah, ingin kami nyatakan bahawa ini bukan tuduhan. Kami harap HyproBulkSMS benar-benar genuine dan bukan skim cepat kaya. Tetapi jika tidak ada siasatan, tak siapa pun akan tahu.

Contoh package yang ditawarkan berdasarkan info di laman web mereka,

Xtreme 1000 - modal RM1000
a) HRI - hyper referral income balik modal sebaik saja menaja 2 orang, RM500 setiap seorang
b) Powerline - 100% untuk setiap referral selepas itu iaitu RM1000 setiap seorang
c) 50% untuk kaki A & B setiap referral C ke infiniti

serta beberapa income lain yang tak berapa penting. Kami akan kupas a,b,c sahaja.

Bacaan kami seperti ini..

1) Sebanyak 10% dari deposit akan diambil oleh syarikat bagi setiap 2 referral pertama bagi setiap ahli. 50% untuk direct referral, 40% untuk indirect referral.

2) Syarikat "menggula-gulakan" sebanyak 750 sms untuk deposit sebanyak RM1000. Pekej yang ditawarkan adalah 750 sms, pada harga RM1000. Anda jangan cerita lagi pasal referral income sebab itu hanyalah "peluang" yang mungkin ada, atau mungkin tiada. Pembeli tidak membeli "peluang", tetapi membeli 750 sms pada harga RM1000. Fuh!

3) Sekiranya syarikat menjawab mereka hanya memperolehi RM100 dari seorang, maka caj SMS itu masih mahal iaitu 13sen/sms.

Jika anda melupakan 750 sms yang digula-gulakan itu, maka HyproBulkSMS adalah satu skim piramid yang sangat tulen. Yang membezakan ia dengan skim piramid adalah kehadiran 750 sms! Tetapi adakah 750 sms itu berbaloi untuk RM1000 yang dikeluarkan? Anda jawablah sendiri, samada ianya benar-benar perniagaan SMS, atau SMS itu hanyalah gimik bagi melindungi kegiatan skim piramid cepat kaya mereka.

Sekali lagi ini bukan tuduhan, tetapi sekadar telahan pendapat yang mungkin boleh difikirkan oleh pihak berwajib. Itupun jika anda buat kerja dan cari maklumat di internet. Setakat ini bantuan kami, selebihnya anda selidiki sendiri.

"Belia Benci Scam"

Login Facebook dapat duit - tahi kucing!

Kami terlepas bas tentang sattu program yang di namakan "login ke Facebook dapat duit". Hahahahahahahaha.... lucunya. Nak berdekah sekali lagi.... hahahahahahahaha.

Lucunya bukan apa, tapi lucu oleh kerana ramainya sahabat sebangsa dan seagama kami boleh jadi "tidak pandai" (kalau cakap bodoh orang marah) dan terus terjun bersama labu mereka ke kancah penipuan ini.

Seorang demi seorang yang tertipu, selepas itu yang tertipu akan turut sama menipu. Tulis status besar-besar di Facebook "AKU DAPAT DUIT SETIAP MINIT". Tanpa rasa bersalah, terus menipu dan menipu tak kira siang atau malam.

Untuk mereka yang kurang pandai, biar kami beri satu pesanan penaja. Jika duit yang kamu dapat tidak jelas sumbernya dari mana, maka duit itu tidak boleh digunakan. Dalam hal ini, dari mana datangnya duit setiap minit itu? Dari ahli baru yang kamu tipu? Maka tak perlu mufti beri hukum, kamu sendiri tahu apa maksudnya.

"Belia Benci Scam"

Syarikat anjur skim piramid berdepan hukuman berat


MELAKA 23 Julai - Syarikat-syarikat yang melakukan penipuan dalam perniagaan jualan langsung berbentuk skim piramid berdepan denda RM50 juta apabila Akta Jualan Langsung dan Antipiramid yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini dikuatkuasakan tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, selain denda yang lebih tinggi, lesen perniagaan mereka juga akan ditarik balik.

Kata beliau, bagi individu pula, untuk kesalahan pertama, mereka akan didenda RM5 juta atau lima tahun penjara dan bagi kesalahan kedua didenda RM10 juta atau enam tahun penjara.

"Sebelum ini, tiada peruntukan undang-undang khusus kepada syarikat yang melakukan penipuan dalam perniagaan berbentuk skim piramid apabila mereka sekadar dikenakan hukuman yang tidak setimpal.

"Hukuman di bawah Akta Jualan Langsung 1993 tidak menampakkan keberkesanan kerana tidak memperuntukkan jumlah penalti dan penjara maksimum lebih tinggi bagi semua kesalahan," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Memperkasakan Pengguna anjuran kementerian dengan kerjasama Puspanita di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Sehubungan itu, kata Lian Hoe, pihak kementerian akan menggempur 490 syarikat jualan langsung berlesen di seluruh negara yang menjalankan perniagaan berbentuk skim piramid.

Katanya, tindakan bertujuan memastikan syarikat terbabit tidak melanggar peraturan yang ditetapkan atau diheret ke muka pengadilan.

"Anggota penguat kuasa tidak lagi berpakaian seragam sebaliknya berpakaian biasa bagi mengelak daripada dihidu oleh syarikat jualan langsung," ujarnya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh 2005 hingga 2010, lapan syarikat telah dikenal pasti menjalankan perniagaan berbentuk skim piramid dan melakukan penipuan.

Ujarnya, peruntukan yang diluluskan itu bertujuan melindungi pengguna daripada menjadi mangsa penipuan skim piramid yang kini dilihat semakin berleluasa.


Berita asal di sini.

"Belia Benci Scam"