Thursday, July 24, 2008

Jai Network - Yang Salah Itu Salah

Akhirnya kerajaan Malaysia mula menggerakkan jentera pembanteras skim cepat kaya. Kenapa bukan dari dulu? Kenapa perlu menunggu sehingga berjuta-juta RM duit rakyat dileburkan jadi aset, jadi kereta dan jadi habuan tokan skim cepat kaya? Mungkin atas beberapa sebab:

1) Kelemahan undang-undang sediaada.
2) Kekurangan pegawai.
3) Kurangnya kesedaran diperingkat pihak berkuasa.
4) Sistem pemantauan yang tidak berkesan.
5) Tidak ada priority.

Harapnya pihak yang berkaitan seperti KPDNHEP, Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti terus aktif menangkap penjenayah perdagangan yang banyak makin berleluasa akhir-akhir ini. Undang yang tidak ketat dan mudah dieksploitasi haruslah diperkukuhkan. Apa guna ada MP dan Menteri dengan elaun puluhan ribu kalau tak ada kesedaran untuk menangkis anasir seperti ini.

Selain itu daripada menghukum penjenayah, hukuman ringan seperti denda patut juga dikenakan kepada mereka yang mempromosikan dan menyertai program-program skim cepat kaya.

KUANTAN: Sepasang suami isteri yang merupakan pengarah sebuah syarikat swasta dihadapkan ke tiga Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 189 pertuduhan melakukan aktiviti pengubahan wang haram membabitkan hampir RM170 juta.

Dr. Jailani Jabar, 48, menghadapi 106 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM98.7 juta manakala isterinya, Dr. Latifah Taib, 47, didakwa atas 83 tuduhan melibatkan RM71.3 juta. Mereka dituduh melakukan aktiviti itu dari Februari 2006 hingga Oktober 2007.

Mereka yang merupakan pengarah syarikat Jai Network System Sdn Bhd di Jalan Beserah di sini dituduh menggunakan wang tersebut yang merupakan hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram untuk pelbagai kegunaan termasuk membayar deposit pembelian hartanah, pembayaran ansuran pelbagai jenis kereta, pemindahan ke akaun milik mereka serta mendapatkan hak pengedar minyak hidrogen.

Mereka didakwa mengikut Sub Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kedua-dua mereka yang ditahan semalam bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di tiga buah Mahkamah Sesyen yang mengambil enam setengah jam bermula 3 petang sehingga 9.30 malam ini.

Di Mahkamah Sesyen yang pertama, Jailani menghadapi 28 pertuduhan dan Latifah sebanyak 36 pertuduhan manakala di Mahkamah Sesyen kedua, pasangan suami isteri itu masing-masing menghadapi 39 dan 24 pertuduhan dan di Mahkamah Sesyen ketiga, masing-masing menghadapi 39 dan 23 pertuduhan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Dzulkifli Ahmad memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Jailani dan Latifah memandangkan keseriusan kes itu yang membabitkan jumlah wang yang besar.

Bagaimanapun, peguam Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin itu memandangkan Jailani mempunyai empat isteri dan 13 anak selain aset mereka telah dibekukan.

Hakim di ketiga-tiga mahkamah iaitu Hakim Jagjit Singh Bant Singh, Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain dan Hakim Habibah Mohd Yusof kemudian membenarkan ikat jamin yang keseluruhannya berjumlah RM848,000 bagi Jailani dan RM415,000 bagi Latifah, masing-masing dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 11 Ogos depan sebagai sebutan semula kes di hadapan Hakim Jagjit Singh selepas membenarkan permohonan Dzulkifli bagi perbicaraan serentak. BERNAMA



Image Hosted by ImageShack.us


DR. JAILANI Jabar diiringi anggota polis ketika tiba di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini. Dia menghadapi 189 tuduhan mengubah duit haram membabitkan nilai hampir RM170 juta. -fotoBERNAMA

Image Hosted by ImageShack.us


DR. LATIFAH Taib yang didakwa bersama suaminya pengarah syarikat Jai Network System Sdn Bhd Dr. Jailani Jabar, 48, diiringi anggota polis ketika tiba di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini. Mereka menghadapi 189 tuduhan mengubah duit haram membabitkan nilai hampir RM170 juta. - fotoBERNAMA


Inilah yang berlaku kalau rasa dah pandai dan syok sendiri gubah plan sana, gubah plan sini, offer investment sana-sini, pulangan puluhan percent setiap bulan, sedangkan apa yang dikota tidak mampu dikota. Yang menjadi mangsa adalah orang ramai yang tak pernah pandai-pandai dan tak pernah serik untuk terus melabur dalam program skim cepat kaya.

JAI Network dulu katanya adalah untuk membantu orang Melayu. Bullshit! Biar kami katakan begini: setiap skim cepat kaya yang datang dan pergi di Malaysia ini akan menggunakan ayat manis yang sama - tolong orang Melayu. Sedangkan mereka yang sebenarnya nak orang Melayu tolong kumpulkan duit untuk perut mereka.

"Belia Benci Scam"

No comments: