Friday, November 27, 2009

Jerat jenayah siber

Baca potongan akhbar je lah dulu, buat masa ni kami belum ada berita hendak digali. Kalau ada pelawat yang mahu kami gali cerita skim cepat kaya, sila beri nama nama program terlibat.


Jerat jenayah siber
Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my


SERDANG: Sifat tamak dan cepat teruja dengan tawaran lumayan dalam Internet seperti skim cepat kaya dikenal pasti menjadi punca utama menyebabkan jenayah siber semakin bermaharajalela, sehingga sesiapa saja boleh menjadi mangsa dan mengalami kerugian dalam sekelip mata.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Husin Jazri, berkata melalui penyelidikan dan siasatan pihaknya mendapati sifat tamak sesetengah individu menjadi penyumbang besar kepada kes jenayah siber.

Menurutnya, individu yang mudah teruja, ditambah dengan sifat ingin cepat senang dan kaya dalam tempoh singkat tanpa usaha sewajarnya boleh menyebabkan semakin tinggi peluangnya untuk menjadi mangsa kepada penipuan di alam siber.

“Kami dapati ancaman terbesar kepada jenayah siber ini ialah diri kita sendiri iaitu perasaan tamak dari dalam diri serta kurangnya pengetahuan dan kemahiran mengenai teknologi maklumat.

“Inilah punca utama kita dieksploitasi dan membuka peluang kepada penjenayah siber untuk menipu, lebih-lebih lagi bagi individu yang gagal mendisiplinkan dirinya,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof, di pejabatnya di Seri Kembangan, di sini, semalam.

CyberSecurity ialah sebuah agensi bawah kementerian berkenaan yang memberikan tumpuan kepada keselamatan dan bantuan dalam sektor teknologi maklumat, termasuk penelitian kes jenayah siber yang dirujukkan kepadanya secara serius.

Husin berkata, mengikut perangkaan rasmi, kira-kira 16.5 juta rakyat negara ini menggunakan Internet, namun jika mengambil kira secara keseluruhan termasuk pengguna melalui rangkaian telefon bimbit, jumlah itu dianggarkan lebih tinggi.

Menurutnya, dengan pertambahan bilangan pengguna Internet, bermakna semakin tinggi juga kadar peningkatan jenayah siber.

Katanya, statistik CyberSecurity dari Januari hingga Oktober lalu, menunjukkan bilangan insiden siber meningkat 87 peratus berbanding tahun lalu, iaitu kira-kira 3,000 insiden, terutama membabitkan penipuan (812 kes) dan pencerobohan sistem (1,482 kes).

Ancaman siber kini katanya, bukan lagi tertumpu pada isu teknologi berbentuk teknikal iaitu pencerobohan sistem, tetapi turut membabitkan isu sosial seperti pornografi membabitkan dewasa dan kanak-kanak.

“Malah, isu perjudian dalam talian, skim cepat kaya, penipuan dalam bentuk sindiket, gosip dan khabar angin yang boleh mengancam keselamatan negara, hasutan, gangguan psikologi, seksual dan buli siber.

“Semakin maju kita dalam alam siber, makin tinggi peluang kita terdedah pada jenayah siber, malah berdasarkan penelitian kami, lagi besar kadar jalur lebar, lagi besar kadar jenayah siber, tetapi kita tidak boleh berundur ke belakang,” katanya.

Beliau berkata, walaupun pelbagai bentuk insiden siber berlaku, bukan semua maklumat dan laporan diterima pihaknya.

“Ada maklumat yang kami tidak terima, malah boleh dikatakan yang kami terima hanya satu persembilan kes saja.

“Masih banyak kes yang tidak diketahui oleh kami, kerana pengguna sendiri yang tidak tampil untuk membuat laporan,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Husin berkata, CyberSecurity Malaysia membuka Pusat Penyelidikan Malware Security Malaysia bagi memastikan rakyat Malaysia membuat persediaan yang mencukupi dan dilindungi daripada malware.

Malware, gabungan dua perkataan ‘perisian jahat’ dibangunkan untuk menyusup atau merosakkan sistem komputer diluar kehendak pengguna.

Menurutnya, pusat itu akan menyediakan teknik yang lebih baik untuk mengesan dan menangani ancaman malware, nasihat dan amaran mengenai maklumat malware dengan rakan tempatan dan antarabangsa serta membangunkan kepakaran bagi menangani malware.

“Jika tidak ditangani, malware mampu mencuri maklumat sulit pengguna, mendedahkan aktiviti Internet kepada penelitian dan/atau menjadikan komputer sebagai zombi untuk melumpuhkan perkhidmatan,” katanya.

Husin berkata, sudah sampai masanya pengguna bertanggungjawab terhadap hak asasi mereka ke atas akses Internet dengan mendalami pengetahuan mengenai ancaman siber dan cara untuk mengelak menjadi mangsa jenayah siber.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada aktiviti kesedaran, agensi itu akan mengetuai Hari Keselamatan Komputer Dunia pada 30 November ini, bertema “Keselamatan Komputer Tanggungjawab Semua“.

Agensi berkenaan berkata rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pelanggaran keselamatan komputer atau sebarang aktiviti haram ruang siber, digalakkan menghubungi Pusat Bantuan Cyber999 di 1-300-2999, e-mel kepada cyber999@cybersecurity.my atau membuat laporan dalam talian di www.cybersecurity.my.


Berita asal di sini.

No comments: