Tuesday, May 11, 2010

Pelabur kutu rugi RM33j


Empat syarikat tawar skim ‘smart kutu’ disiasat SSM

KUALA LUMPUR: Kira-kira 100,000 pelabur ‘smart kutu’ membabitkan pelaburan bernilai RM33 juta mungkin kerugian apabila empat syarikat yang menawarkan skim itu kini disiasat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana melanggar Akta Larangan Wang Kutu 1971.

Syarikat terbabit termasuk tiga di Kedah dan satu di Johor, yang dikatakan menawarkan skim itu kononnya untuk membantu orang Melayu menjadi kaya, dijangka didakwa di mahkamah tidak lama lagi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata setakat ini aset satu daripada empat syarikat terbabit juga sudah dibekukan.

“SSM dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum mendakwa empat syarikat itu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan majlis dialog amalan perniagaan beretika di sini, semalam.

Beliau enggan mengulas lanjut, tetapi Berita Harian diberitahu skim itu mempunyai dua pelan dengan Pelan A mengkehendaki peserta menghantar kiriman wang pos bernilai RM136 ke syarikat itu yang menawarkan pulangan RM10,800 dalam tempoh setahun.

Pelan B pula menawarkan pulangan RM30,000 dalam tempoh setahun dengan kiriman wang pos bernilai RM330.

Ismail Sabri berkata, akta berkenaan melarang mana-mana pihak mengutip wang dan mengurus transaksi berbentuk kutu.

Kesalahan itu boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan denda tidak melebihi RM5,000.

Ismail Sabri berkata, kementerian menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikannya dan dianggotai SSM, Bahagian Jenayah Perdagangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk berkongsi maklumat dan menyiasat kes jenayah kolar putih.

Katanya, Jawatankuasa khas yang ditubuhkan hasil idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu membuktikan kerajaan serius dalam memerangi jenayah kolar putih.

Beliau berkata, jawatankuasa khas itu bertujuan mengelakkan pertindihan dari segi siasatan kerana sebelum ini semua agensi melakukan siasatan sendiri walaupun kadangkala kes itu membabitkan isu sama.

Ismail Sabri berkata, pihaknya juga akan mencadangkan Kabinet supaya mewajibkan semua ahli lembaga pengarah syarikat mengikuti kursus asas pengurusan, seperti yang dilakukan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan SKM.

“Sekiranya Suruhanjaya Sekuriti dan SKM mewajibkan ahli lembaga pengarah syarikat mengikuti kursus, kita tidak nampak kenapa SSM tidak boleh mewajibkan pengarah syarikat menghadiri kursus,” katanya.


Sumber asal di sini.

Monday, May 3, 2010

150,000 pelabur rugi lebih RM300j

Orang ramai digesa hindari skim cepat kaya

KUALA LUMPUR: Sebanyak 150,000 pelabur menanggung kerugian lebih RM300 juta kerana sikap tamak mereka untuk mendapat ‘wang besar’ dengan menyertai skim cepat kaya atau skim pelaburan haram di seluruh negara sejak tahun lalu.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat, Bank Negara, Abu Hassan Alshari Yahaya, berkata sejak Januari tahun lalu hingga kini, lapan kertas siasatan dibuka untuk menyiasat aktiviti pengambilan deposit tanpa lesen mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, empat syarikat dan mereka yang disyaki mengendalikan aktiviti skim cepat kaya dihadapkan ke mahkamah.

Syarikat berkenaan adalah Gemilang Mirza Sdn Bhd, Noradz Travel & Services Sdn Bhd, Buluhmas Enterprise Sdn Bhd dan Eastana Farm Industries Sdn Bhd.

Mengenai sebahagian besar mangsa penipuan yang masih berharap mendapat semula wang mereka, Abu Hassan menegaskan, ia sukar dan bergantung kepada keputusan mahkamah pada akhir perbicaraan.

“Berdasarkan rekod siasatan, lazimnya baki yang tinggal dalam akaun bank milik pengendali skim cepat kaya itu adalah kecil dan jumlah itulah yang dibekukan agensi penguatkuasaan.

“Sebahagian besar wang pelabur sama ada sudah habis dibelanjakan atau dipindahkan ke luar negara untuk kepentingan peribadi pengendali skim itu,” katanya kepada Berita Harian.

Untuk mendapat balik wang pelaburan, Abu Hassan menyarankan mangsa menyaman individu atau syarikat berkenaan menerusi proses undang-undang sivil, tetapi proses perbicaraan kes penipuan kewangan selalunya mengambil masa agak lama.

“Ia perlukan siasatan rapi membabitkan pengumpulan dan penganalisaan bahan bukti, rakaman penyataan pelabur dan suspek serta bantuan agensi berkaitan yang kadangkala mengambil masa lama,” katanya.

Abu Hassan berkata, dalam proses siasatan, semua pihak berkuasa seperti Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), polis, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melaksanakan tanggungjawab selaras peruntukan undang-undang sedia ada.

“Oleh kerana tempoh penyelesaian panjang dan tiada jaminan mangsa mendapat semua modal, orang ramai disaran menghindari daripada terbabit dalam skim pelaburan meragukan, iaitu yang menjanjikan pulangan tinggi di luar jangkaan,” katanya.

Sebelum melabur, mereka dinasihatkan menyemak latar belakang syarikat atau membuat pertanyaan dengan menghubungi Bank Negara sama ada menerusi pusat perkhidmatan pelanggan, iaitu BNMLINK atau BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465.

Sementara itu, bagi maklumat lanjut berhubung aktiviti penipuan kewangan, orang ramai dinasihatkan melawat laman Amaran Penipuan Kewangan di http://fraudalert.bnm.gov.my.


Sumber dari sini.

Sunday, May 2, 2010

Syarikat jualan langsung didakwa gagal agih keuntungan RM17 jutaSyarikat jualan langsung didakwa gagal agih keuntungan RM17 juta


KOTA BHARU 2 Mei – Seramai 1,000 pelabur dalam syarikat skim jualan langsung terkenal di Gua Musang, Kelantan mendakwa tertipu kerana tidak mendapat agihan keuntungan sebanyak RM17 juta seperti dijanjikan.

Pelabur-pelabur itu mendakwa syarikat yang diusahakan oleh seorang wanita berusia 34 tahun itu menghentikan pembayaran keuntungan perniagaan sejak Jun tahun lalu.

Menurut juruperunding yang dilantik oleh pelabur tersebut, Mohamad Salihin Abdul Jalil, seramai 102 mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh sejak tiga bulan lalu.

”Hampir 80 peratus mangsa terdiri daripada penduduk Kampung Kubang Telaga, Gunong, Bachok dan mempunyai pertalian darah dengan wanita terbabit,” katanya ketika mengunjungi pejabat Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, kebanyakan ahli syarikat jualan langsung itu terdiri daripada penoreh getah, petani, kakitangan kerajaan termasuk polis, bomba, tentera, guru dan doktor yang telah membuat bayaran antara RM1,000 dan RM100,000.

Mohamad Salihin berkata, pihaknya akan membawa kes itu ke muka pengadilan dan kini dalam proses melantik peguam bagi menuntut kembali hak mereka menerusi tindakan undang-undang.

Katanya, perbincangan yang dilakukan secara bersemuka dengan usahawan wanita itu juga menemui jalan buntu.

Wanita itu, katanya, memberikan alasan gagal menunaikan cek berjumlah RM17 juta untuk diagih-agihkan kepada ahli kerana pihak ibu pejabat syarikat jualan langsung itu enggan melepaskan wang tersebut.

Menurutnya lagi, pada tahun 2007, wanita berpangkat Royal Crown Manager itu menawarkan kepada penduduk kampung peluang melabur sebagai rakan kongsi untuk membina sebuah agensi syarikat jualan langsung di pekan Gua Musang.

Sementara itu, seorang mangsa berpangkat Diamond Sales Manager yang juga pembantu kanan kepada wanita terbabit, Norizan Mat Nor, 44, berkata, dia dan isteri melabur sebanyak RM207,000 sejak dua tahun lalu kerana yakin dan percaya perniagaan tersebut akan memberi keuntungan yang berterusan.

“Sejak pembayaran dihentikan, saya mengalami tekanan perasaan yang teruk kerana menerima cacian, penghinaan dan maki-hamun daripada peserta yang marah, kecewa dan tidak puas hati dengan kegagalan syarikat yang diterajui oleh wanita itu untuk meneruskan pembayaran.

“Di peringkat awal tahun 2007, saya menjual lori untuk mendapatkan modal dan apabila pembayaran dihentikan oleh syarikat, saya terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membayar keuntungan ahli di bawah seramai 272 orang dengan bayaran RM481,570,” katanya.

Dalam pada itu, Salihin menyeru mana-mana mangsa yang terlibat sama ada berada di negeri ini atau negeri lain supaya tampil membuat laporan polis atau menghubunginya di talian 014-5023523.

Sumber di sini.