Tuesday, May 11, 2010

Pelabur kutu rugi RM33j


Empat syarikat tawar skim ‘smart kutu’ disiasat SSM

KUALA LUMPUR: Kira-kira 100,000 pelabur ‘smart kutu’ membabitkan pelaburan bernilai RM33 juta mungkin kerugian apabila empat syarikat yang menawarkan skim itu kini disiasat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana melanggar Akta Larangan Wang Kutu 1971.

Syarikat terbabit termasuk tiga di Kedah dan satu di Johor, yang dikatakan menawarkan skim itu kononnya untuk membantu orang Melayu menjadi kaya, dijangka didakwa di mahkamah tidak lama lagi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata setakat ini aset satu daripada empat syarikat terbabit juga sudah dibekukan.

“SSM dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum mendakwa empat syarikat itu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan majlis dialog amalan perniagaan beretika di sini, semalam.

Beliau enggan mengulas lanjut, tetapi Berita Harian diberitahu skim itu mempunyai dua pelan dengan Pelan A mengkehendaki peserta menghantar kiriman wang pos bernilai RM136 ke syarikat itu yang menawarkan pulangan RM10,800 dalam tempoh setahun.

Pelan B pula menawarkan pulangan RM30,000 dalam tempoh setahun dengan kiriman wang pos bernilai RM330.

Ismail Sabri berkata, akta berkenaan melarang mana-mana pihak mengutip wang dan mengurus transaksi berbentuk kutu.

Kesalahan itu boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan denda tidak melebihi RM5,000.

Ismail Sabri berkata, kementerian menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikannya dan dianggotai SSM, Bahagian Jenayah Perdagangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk berkongsi maklumat dan menyiasat kes jenayah kolar putih.

Katanya, Jawatankuasa khas yang ditubuhkan hasil idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu membuktikan kerajaan serius dalam memerangi jenayah kolar putih.

Beliau berkata, jawatankuasa khas itu bertujuan mengelakkan pertindihan dari segi siasatan kerana sebelum ini semua agensi melakukan siasatan sendiri walaupun kadangkala kes itu membabitkan isu sama.

Ismail Sabri berkata, pihaknya juga akan mencadangkan Kabinet supaya mewajibkan semua ahli lembaga pengarah syarikat mengikuti kursus asas pengurusan, seperti yang dilakukan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan SKM.

“Sekiranya Suruhanjaya Sekuriti dan SKM mewajibkan ahli lembaga pengarah syarikat mengikuti kursus, kita tidak nampak kenapa SSM tidak boleh mewajibkan pengarah syarikat menghadiri kursus,” katanya.


Sumber asal di sini.

1 comment:

TinyHuman said...

Saya syaki UNSTOPPABLE juga mcm saudara yg post kat atas...
boleh saudara buat research utk ini?
Terima kasih banyak2