Tuesday, January 1, 2008
Sekam Lebih Baik Dari Scam
Jenayah penipuan perdagangan samada di internet atau offline, mungkin tidak seteruk mana jika dibandingkan dengan kesan perlakuan jenayah lain. Tetapi sedar atau tidak, jenayah ini seolah menjadi trend keadaan semasa dan menganiaya golongan biasa rakyat Malaysia.
Siapa itu golongan biasa? Mereka yang tidak mempunyai atau kurang pengetahuan tentang hal-hal bagaimana modus operandi jenayah perdagangan ini dibuat. Mereka ini golongan yang bersusah-payah mencari rezeki untuk sesuap nasi. Sedangkan penjenayah/penyangak/penipu berkolar putih ini bebas ke mana-mana mencari sasaran.
Adakah negara Malaysia ini tidak cukup undang-undang untuk memberi perlindungan kepada rakyatnya. Tidak juga. Ada akta, ada undang-undang, ada badan penguatkuasa, ada polis dan sebagainya. Tetapi cabaran hari ini terlalu hebat. Penjenayah semakin berkuasa dengan bantuan teknologi semasa sedangkan agensi pelindung kebanyakannya masih ditakuk lama. Banyaknya kes-kes lain yang lebih berat menyebabkan penipuan ini bebas bergerak samada dibandar, apatah lagi diceruk kampung.
Wujudnya blog ini bukan bermakna untuk mencabar sesiapa. Dari hati yang ikhlas, kami memohon maaf jika adanya kekurangan dan kelemahan pihak kami. Blog ini wujud dari cetusan hati untuk membantu meningkatkan kesedaran golongan biasa rakyat Malaysia tentang ancaman penipuan perdagangan atau lebih dikenali dengan "scam". Scam berlaku di mana-mana, di ruang siber, di ruang tamu rumah anda atau di meja makan kedai mamak. Alangkah malangnya!
Anda di luar sana, ayuh bersama kami berdiskusi dan sebarkan maklumat ini sebaiknya. Objektif kami adalah mewujudkan kumpulan sukarelawan yang mampu memberi kesedaran kepada golongan sasar. Kita mungkin tidak saling mengenali, tetapi atas dasar dan objektif yang sama mudah-mudahan hasrat murni ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sekecil-kecil sumbangan yang anda mampu lakukan adalah menyebarkan maklumat ini kepada rakan dan kenalan, semoga berjaya.
"Belia Benci Scam"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment