Monday, July 26, 2010

Syarikat anjur skim piramid berdepan hukuman berat


MELAKA 23 Julai - Syarikat-syarikat yang melakukan penipuan dalam perniagaan jualan langsung berbentuk skim piramid berdepan denda RM50 juta apabila Akta Jualan Langsung dan Antipiramid yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini dikuatkuasakan tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, selain denda yang lebih tinggi, lesen perniagaan mereka juga akan ditarik balik.

Kata beliau, bagi individu pula, untuk kesalahan pertama, mereka akan didenda RM5 juta atau lima tahun penjara dan bagi kesalahan kedua didenda RM10 juta atau enam tahun penjara.

"Sebelum ini, tiada peruntukan undang-undang khusus kepada syarikat yang melakukan penipuan dalam perniagaan berbentuk skim piramid apabila mereka sekadar dikenakan hukuman yang tidak setimpal.

"Hukuman di bawah Akta Jualan Langsung 1993 tidak menampakkan keberkesanan kerana tidak memperuntukkan jumlah penalti dan penjara maksimum lebih tinggi bagi semua kesalahan," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Memperkasakan Pengguna anjuran kementerian dengan kerjasama Puspanita di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Sehubungan itu, kata Lian Hoe, pihak kementerian akan menggempur 490 syarikat jualan langsung berlesen di seluruh negara yang menjalankan perniagaan berbentuk skim piramid.

Katanya, tindakan bertujuan memastikan syarikat terbabit tidak melanggar peraturan yang ditetapkan atau diheret ke muka pengadilan.

"Anggota penguat kuasa tidak lagi berpakaian seragam sebaliknya berpakaian biasa bagi mengelak daripada dihidu oleh syarikat jualan langsung," ujarnya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh 2005 hingga 2010, lapan syarikat telah dikenal pasti menjalankan perniagaan berbentuk skim piramid dan melakukan penipuan.

Ujarnya, peruntukan yang diluluskan itu bertujuan melindungi pengguna daripada menjadi mangsa penipuan skim piramid yang kini dilihat semakin berleluasa.


Berita asal di sini.

"Belia Benci Scam"

No comments: