Wednesday, February 24, 2010

SSM serbu dua syarikat skim pelaburan haram


SSM serbu dua syarikat skim pelaburan haram

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Dua syarikat yang disyaki menawarkan skim kepentingan yang tidak didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kepada orang ramai, diserbu SSM di sini semalam.

SSM dalam kenyataan hari ini berkata, melalui siasatan yang dilakukan, syarikat berkenaan iaitu Hadhari Cattle Industry Sdn. Bhd. dan Hadhari Agro Holding Sdn. Bhd. dipercayai mempengaruhi orang awam untuk melabur di dalam satu skim yang dikenali sebagai 'Projek Pembangunan Usahawan'.

"Menurut aduan yang diterima SSM, para pelabur yang telah melabur dalam skim tersebut tidak menerima pulangan yang dijanjikan oleh pihak pengurusan syarikat.

"Ia juga mungkin merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 366 (3) Akta Syarikat 1965 yang melarang sesiapa yang merupakan pegawai atau agen syarikat yang memperoleh apa-apa wang sama ada untuk syarikat, diri sendiri atau orang lain secara menipu atau berjanji palsu dengan niat untuk memperdaya," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, penganjur skim tersebut boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM30,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

"SSM akan mengambil segala langkah untuk membanteras penawaran skim termasuk tindakan penguatkuasaan ke atas penganjur skim tersebut," menurut kenyataan itu lagi.

"Orang ramai diminta menghubungi Seksyen Aduan SSM di talian 03-22995477/ 5450/5451 sekiranya mempunyai maklumat mengenai skim-skim penipuan yang lain," menurut kenyataan itu. — BERNAMA



Orang ramai jangan jadi bodoh.. tolonglah. Setakat syarikat ni buat promosi ambil gambar dengan Pak Lah atau mana-mana VIP sekalipun, jangan lah kau terus terkam nak masuk sama. Pak Lah bukan tahu apa, dia datang rasmi pastu balik. Yang keluar duit nya engkau, yang rugi nya engkau. Kalau datang Obama presiden US tu sekalipun jangan lah mudah nak percaya. Adoi.... tak boleh nak beza ke marketing dengan true opportunity?

"Belia Benci Scam"

Sunday, February 21, 2010

Hello1m: Adakah peluang piramid baru?

Setakat ini tidak dapat kami analisakan samada peluang yang ditawarkan oleh Hello1m ini sebagai potensi scam atau tidak. Bagi mereka yang ingin menjebakkan diri dengan peluang ini, elok sangat berhati-hati dan mungkin boleh merenungkan soalan-soalan ini:

1) Apakah benar produk yang ditawarkan iaitu satu laman web itu bernilai RM550? Tidakkah ianya terlalu mahal hanya untuk satu laman web?

2) Mengapa begitu tinggi komisen yang ditawarkan? RM300 pada level 1 dan RM10 pada level 2-10. Jumlahnya RM390 untuk komisen. Tidakkah bermakna nilai web itu hanyalah RM160? Pun begitu RM160 masih juga terlalu mahal untuk produk yang ditawarkan itu.

3) Sekiranya komisen lebih tinggi dari harga produk itu sendiri, yang mana satu fokus syarikat? Adakah penjualan produk atau pada komisen (money game)?

4) Adakah ini bermakna produk (laman web) itu hanya sampingan dan berfungsi bagi menyembunyikan niat sebenar satu money game (ahli baru bayar ahli lama)?

Ini hanyalah lontaran-lontaran idea. Untuk maklumat lanjut, elok sekiranya anda mendapat maklumat dari empunya diri.

"Belia Benci Scam"

Pengarah syarikat Eastana didakwa lagi

Artikel berkenaan pelaburan lembu pernah di tulis dulu di sini, sini dan sini.

Ini berita terbaru ..

Tuesday, February 9, 2010

Labur emas: 60 individu dakwa rugi RM25j

Lagi mangsa skim cepat kaya, sudah-sudahlah tu. Suka berangan je orang kita ni.

"Belia Benci Scam"


60 individu dakwa rugi RM25j

PULAU PINANG 9 Feb. – Seramai 60 individu mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM25 juta sejak tahun lepas selepas terpedaya dengan pulangan keuntungan segera melalui skim pelaburan emas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Penolong Komisioner Roslee Chik berkata, setakat ini polis menerima 30 laporan yang dibuat oleh pelabur yang mendakwa diperdaya sindiket itu.

“Modus operandi syarikat itu adalah menjual jongkong emas seberat sekilogram dengan harga pasaran antara RM135,000 hingga RM150,000.

“Apa yang menarik syarikat itu turut menawarkan pulangan tiga peratus daripada harga emas kepada pembeli bagi setiap bulan dalam tempoh tiga bulan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Roslee berkata, syarikat yang beroperasi di Pulau Pinang itu membayar dividen tiga peratus berkenaan pada bulan pertama dan kedua sebelum menawarkan untuk membeli semula jongkong emas terbabit pada bulan ketiga.

“Apabila pembeli bersetuju untuk menjual semula dan telah menyerahkan emas berkenaan, wakil syarikat terbabit melarikan diri bersama emas tanpa membuat sebarang bayaran,” katanya.

Roslee berkata, siasatan mendapati syarikat berkenaan tidak mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bank Negara bagi menguruskan urusan jual beli emas.

Katanya, setakat ini, pihaknya telah menahan tiga lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan dan sedang mengesan 10 lagi bagi membantu siasatan kes itu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Roslee turut mendedahkan seramai 32 orang kerugian RM300,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan melalui panggilan telefon.

“Anggota sindiket berkenaan yang menyamar sebagai pegawai mahkamah, kastam atau polis akan membuat panggilan dan memalsukan identiti nombor telefon bimbit dengan menggunakan satu laman web di internet yang dikenali sebagai Voice Over Internet Protocol (VOIP),” katanya.

Roslee berkata, sindiket itu kemudiannya menawarkan untuk membantu mangsa yang sedang menghadapi kes jenayah dengan mengenakan sejumlah bayaran yang perlu dimasukkan ke dalam akaun bank tertentu.

“Sehingga sekarang kita tidak ada jalan penyelesaian berhubung VOIP dan polis juga tidak menolak kemungkinan sindiket berkenaan mempunyai kaitan dengan ’orang dalam‘ kerana mempunyai maklumat mangsa yang menghadapi kes jenayah,” katanya sambil menambah siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya meneliti sebarang pelaburan dan panggilan telefon bagi mengelak ditipu pihak tidak bertanggungjawab.

Orang ramai boleh menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang di talian 04-2221591 bagi sebarang pertanyaan berhubung pelaburan atau panggilan telefon yang mencurigakan. – BERNAMA