Wednesday, May 28, 2008

Lebih Ramai YB Po Kuan Diperlukan



Mungkin ini berita baik bagi pelabur-pelabur yang pernah tersesat arah melabur dalam skim cepat kaya. YB Po Kuan nampak agak updated dengan apa yang terjadi dalam masyarakat hari ini. Betapa orang ramai tertindas dengan kelemahan sistem yang ada pada hari ini.

Terima kasih kepada YB kerana membawa isu pengambilan wang haram ke parlimen. Harapnya YB terus membawakan isu-isu seperti pelaburan haram internet, penipuan siber dan gerakan terancang skim cepat kaya di Malaysia. Kami pasti terdapatnya pihak yang cukup bijak menggunakan kelemahan perundangan dan pelaksanaan oleh agensi kerajaan seperti KPDNHEP dan MECD untuk kepentingan mereka.

Bagaimana satu bentuk ala-pelaburan haram boleh dibenarkan menjalin kerjasama dengan TEKUN dan terus menerus menggunakan nama agensi itu untuk meraih lebih ramai pelabur baru. Apa jadi dengan pemantauan oleh SC ataupun Bank Negara? Tidakkah setiap peluang pelaburan yang hendak diiklankan dimestikan mendapat kelulusan? Bagaimana promosi sebegini boleh berlaku secara berleluasa samada di internet atau di kampung-kampung tanpa sebarang garis panduan khusus?

Pihak yang menjadi mangsa adalah mereka yang daif dan kurang pengetahuan dalam perkara ini. Kami melihat kerajaan gagal membendung aktiviti skim cepat kaya dari berleluasa dan gagal mempertahankan orang ramai dari bahaya yang di bawa oleh aktiviti ini.

Umpama skim gores dan menang, skim cepat kaya tidak lah susah mana untuk dibanteras sekiranya kelemahan undang-undang berkaitan dapat dikenal pasti. Contohnya golongan ini begitu bijak mendaftarkan koperasi untuk menerima deposit bagi mengelak dari dikatakan menerima deposit haram. Setakat mana fungsi badan pengaudit menjalankan tugas mereka bagi mengenalpasti tawaran yang diberikan kepada pelabur mampu dicapai atau hanya strategi pemasaran semata? Ada koperasi menawarkan 120% pulangan dalam masa setahun, adakah wujud badan pemantau yang dapat mengesahkan kelayakan organisasi berkenaan dalam tawaran mereka demi menjaga kepentingan orang ramai?

Tindakan undang-undang selepas runtuhnya sistem primaid dalam organisasi ini tidak banyak membantu. Yang rugi tetap akan rugi. Yang hilang duit tetap tidak berganti. Apa yang kami perlukan adalah sistem perlindungan untuk orang ramai dari terus ditipu dan mengelakkan kerugian kepada mereka ini.

"Belia Benci Scam"

No comments: